KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 murid Tahun Satu di beberapa sekolah kebangsaan di ibu kota, Selangor, Johor dan Pulau Pinang disambut oleh maskot Nuri Bank Rakyat baru-baru ini, bagi menceriakan hari pertama sesi persekolahan 2026.
Sambutan itu dibuat menerusi inisiatif penganjuran Program NURI Seronok ke Sekolah oleh Bank Rakyat.
Bank Rakyat dalam kenyataan, berkata, selari dengan komitmen berterusan pihaknya dalam memupuk kesedaran serta literasi kewangan sejak usia muda, inisiatif program bertujuan bagi memperkenalkan produk Akaun Simpanan-i Nuri Kids Bank Rakyat, menerusi pendekatan yang mesra, interaktif dan menyeronokkan.
"Akaun Simpanan-i Nuri Kids diperkenalkan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dengan minimum deposit serendah RM20 sebagai langkah memupuk budaya menabung sejak usia muda.
"Pembukaan akaun kini lebih mudah dan pantas melalui platform digital Bank Rakyat Quick (BRICK)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain bagi menceriakan suasana sekolah dan memberikan semangat kepada murid-murid tahun satu, Bank Rakyat berkata, program itu turut mendedahkan pelajar kepada pengalaman kewangan sebenar melangkaui pembelajaran bilik darjah.
Bank Rakyat berkata, pendedahan itu juga membantu menyemai disiplin kewangan, tabiat menabung serta amalan berbelanja secara bijak sejak usia muda.
"Pada masa sama, murid turut diperkenalkan kepada konsep asas menabung dan perbelanjaan berhemah secara santai serta bersesuaian dengan usia mereka.
"Antara sekolah terbabit dengan program ini termasuk Sekolah Kebangsaan Seri Saujana dan Sekolah Kebangsaan Seri Hartamas di Kuala Lumpur; Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Mak Mandin, Pulau Pinang; dan Sekolah Kebangsaan Tanjong Karang, Selangor.
"Selain itu, Sekolah Kebangsaan Desa Cemerlang, Sekolah Kebangsaan Bukit Soga, Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang dan Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat di Johor," katanya.
Source : BH Online, 20 January 2026
Warna Teks
A A A ASaiz Teks
A+ A A-