Bank Rakyat lancar AI Fiqh Scholar Version, platform AI berteraskan Syariah



KUALA LUMPUR: Bank Rakyat telah melancarkan AI Fiqh Scholar Version, sebuah platform kecerdasan buatan (AI) berteraskan Syariah yang dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik, Fiqh Tech Sdn Bhd, sekali gus menandakan satu langkah signifikan dalam memajukan inovasi kewangan Islam.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, kelmarin.

Dalam ucapannya, Ahmad Shahril berkata pengenalan platform tersebut menzahirkan komitmen berterusan bank dalam menerajui inovasi kewangan Islam dengan mengintegrasikan teknologi digital bersama prinsip Syariah secara menyeluruh.

“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan patuh Syariah, Bank Rakyat percaya bahawa tanggungjawab institusi kewangan bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan penyelesaian kewangan, malah merangkumi usaha memperkasa nilai Syariah, memperkukuh tadbir urus serta memastikan inovasi menyumbang kepada kesejahteraan ummah,” katanya.

Beliau menyifatkan AI Fiqh Scholar Version sebagai solusi berasaskan AI yang menjamin ketulenan dan integriti sumber rujukan Syariah tanpa sebarang unsur fabrikasi maklumat.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa teknologi dan Syariah mampu digabungkan bagi menghasilkan impak yang lebih besar dalam dunia digital,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada nilai tambah kepada masyarakat, sebanyak lapan peratus daripada yuran langganan AI Fiqh akan disalurkan ke Dana Wakaf Tunai Bank Rakyat dalam tempoh lima tahun.

Sumbangan tersebut akan menyokong inisiatif pelaburan wakaf serta projek berasaskan wakaf, sekali gus mencerminkan peranan inovasi AI bukan sahaja sebagai pemacu industri, malah sebagai instrumen pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti.

Ketika ini, AI Fiqh digunakan oleh pengguna di 72 negara termasuk Jerman, Mesir, Malaysia, Indonesia dan Arab Saudi, membuktikan penerimaan global yang kukuh terhadap solusi teknologi kewangan Islam berteraskan Syariah.

Pada majlis yang sama, Bank Rakyat turut mengumumkan pemenang AI Fiqh Hackathon in Islamic Finance 2026 yang berlangsung pada 28 Januari lalu. Pertandingan tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan bakat tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan inovasi kewangan Islam berasaskan AI.

Ahmad Shahril menegaskan bahawa pelancaran ini mencerminkan keyakinan bank bahawa teknologi AI mampu memperkukuh aktiviti penyelidikan, inovasi dan pembuatan keputusan dalam kewangan Islam, tanpa menggantikan peranan cendekiawan serta pertimbangan manusia.

Source : Utusan Borneo Online, 7 February 2026

Banking is better with our app

It's simple, secure and convenient

More about our app
TOP