Harta Pusaka merujuk kepada harta yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya. Perancangan kewangan dan harta pusaka yang baik adalah penting untuk memastikan kesaksamaan serta kebajikan waris dapat dipelihara dengan baik. Dengan adanya wasiat atau perkhidmatan pentadbiran harta pusaka yang bertauliah, ia dapat mempercepatkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian melalui pelantikan wasi yang amanah, serta menjamin kebajikan anak-anak terutamanya yang di bawah umur atau kurang upaya.
Secara umumnya, perancangan harta pusaka melibatkan dua perkara iaitu penulisan wasiat dan pentadbiran harta pusaka. Wasiat adalah ikrar seseorang yang dibuat semasa hayatnya berkenaan dengan harta atau manfaat daripadanya untuk dilaksanakan bagi tujuan kebajikan, sedekah atau untuk apa-apa tujuan lain yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas kematiannya. Manakala penulisan wasiat adalah dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada wasi/pentadbir untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat dan juga melaksanakan segala perancangan dan pengagihan harta mengikut kehendak pewasiat selepas kematian.
Penulisan wasiat juga merupakan satu langkah yang penting dalam perancangan harta, yang membolehkan seseorang menyampaikan hasratnya/keinginannya tentang bagaimana harta mereka diagihkan.
Secara am, wasiat terbahagi kepada dua jenis iaitu:
- Wasiat asas merupakan perkhidmatan pelantikan pentadbir untuk menjadi wasi kepada harta si mati setelah kematiannya untuk memastikan urusan harta si mati dapat dikendalikan dan diagihkan dengan baik.
- Wasiat komprehensif merupakan sebuah ikrar atau hasrat yang dinyatakan serta pelantikan wasi (pentadbir) untuk pengurusan pembahagian harta pusaka kepada si waris setelah kematiannya.
Perkhidmatan | Harga (RM) |
Wasiat ARB | 500 |
Wasiat Rakyat (MAAB) | 700* |
Pusaka Rakyat (MAAB) | 50 |
Penulisan Wasiat dan pelantikan pentadbir yang telus merupakan sebahagian daripada perancangan terhadap harta pusaka yang merupakan suatu usaha ke arah memberikan kebaikan kepada waris setelah kematian kerana dapat menjamin kebajikan dan kesaksamaan antara waris.
Antara kebaikan melakukan penulisan wasiat adalah:
- Menjamin masa depan waris dengan pembahagian harta yang dihasratkan.
- Pelantikan wasi/pentadbir yang dipercayai akan menjamin kebajikan dan kepentingan anak-anak (bawah umur) selepas kematian pewasiat.
kepentingan anak-anak (bawah umur) selepas kematian pewasiat.
- Mengurangkan bebanan kepada waris yang ditinggalkan termasuklah hutang-hutang si mati.
- Menyatakan hasrat pengagihan harta untuk keluarga tersayang dan juga kebajikan mereka.
Jika seseorang tidak membuat penulisan wasiat ataupun ketiadaan wasi (pentadbir) yang dipercayai, pembahagian harta si mati adalah seperti berikut:
- Muslim
Apabila ketiadaan wasiat, maka harta si mati akan diagihkan mengikut hukum faraid, iaitu bahagian yang ditentukan berlandaskan Syariah untuk diagihkan kepada waris (Surah An-Nisa' ayat 11, 12 &176). - Bukan Muslim
Ketiadaan wasiat akan menyebabkan harta diagih berdasarkan Akta Pembahagian 1958.
Ketiadaan penulisan wasiat atau pelantikan wasi (pentadbir) yang amanah dan telus juga menyukarkan keadaan waris setelah kematian seseorang. Antara implikasi tersebut adalah:
- Pengagihan aset yang tidak adil kepada waris.
- Kesukaran untuk menyenaraikan dan menyelesaikan hutang si mati.
- Merisikokan kesejahteraan dan hak insan tersayang.
- Anak tiada pertalian darah (anak tiri dan anak angkat) tidak akan mendapat hak dalam pembahagian harta pusaka.
- Proses pembahagian dan penyelesaian harta pusaka yang lama dan sukar.