Info Korporat

Info Bank / Pencapaian

2020

  • Bank Rakyat telah menganjurkan forum kepemimpinan pemikiran yang dikenali sebagai Forum Integriti Bank Rakyat 2020 yang diadakan pada 14 Januari 2020 untuk memperhebatkan usahanya dalam mempromosikan integriti dan tadbir urus yang baik. Forum ini merupakan peristiwa penting bagi Bank sebagai sebahagian daripada peralihannya ke perjalanan baru di mana Tadbir Urus dan Kelestarian adalah tonggak utama jenama Bank Rakyat. Turut hadir dalam forum tersebut ialah Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
  • Bank Rakyat telah memberikan moratorium pembayaran balik kepada pelanggannya selama enam bulan untuk membantu masyarakat semasa wabak COVID-19.

2019

  • Organisasi tempatan pertama diakreditasi di bawah Program Seiring untuk SDG UNCT Malaysia bagi agenda “Matlamat Pembangunan Lestari” atau juga dikenali sebagai “Sustainable Development Goals” (SDG).
  • Mengekalkan kedudukan tempat pertama daripada 100 Koperasi Terbaik Malaysia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi empat tahun berturut-turut.

2018

  • Pelancaran program “The Islamic Banker” di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat
  • Penganjuran Anugerah Autisme: Dari Hati ke Hati di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat
  • Pelancaran Akaun Simpanan-i Umrah dan Tabung Korban

2017

  • Majlis Penyampaian Sijil Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) untuk Pengurus Cawangan sebagai pengiktirafan kompetensi mereka.
  • Program Autismlimpik 2017 untuk anakanak autistik di Lembah Klang.
  • Rakyat Run 2017, dianjurkan oleh Bank untuk pertama kalinya bersempena dengan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

2016

  • Penubuhan Taska Kasih Nuri di Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk warga kerja Bank Rakyat, dirasmikan oleh Pengerusi Bank Rakyat.
  • Pelancaran model Menara Bank Rakyat Johor oleh DYMM Sultan Johor untuk menandakan usaha niaga Bank dalam pelaburan dalam segmen hartanah di Johor.
  • Program Kembara Kemanusiaan Kemboja 2016 yang pertama dan pengagihan daging korban bersempena dengan Hari Raya Aidiladha.
  • Bank Rakyat mengambil tema Anak Kita bagi tahun 2016/2017 sebagai komitmennya untuk fokus kepada kanakkanak, khususnya anak-anak autistik, dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi golongan autistik.

2015

  • Pelancaran rasmi Menara Kembar Bank Rakyat oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
  • Pembukaan cawangan Kuala Pilah oleh DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
  • Perasmian Bank Rakyat-Stesen LRT Bangsar oleh Pengerusi Bank Rakyat sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Bank

2014

Bank Rakyat membuka cawangan ke-145 di Labis, Johor yang merupakan cawangan ke 15 Bank di negeri ini. Pada tahun yang sama, Bank mengumumkan penerbitan Sukuk Musyarakah untuk tempoh tiga dan lima tahun bernilai RM1 bilion. Tahun ini merupakan tahun bermakna buat warga kerja Bank Rakyat apabila bukan sahaja dipindahkan ke Menara Kembar Bank Rakyat di Jalan Rakyat malah turut menyambut ulang tahun ke-60 Bank di premis baharu tersebut.

2013

Bilangan ahli Bank Rakyat meningkat kepada 943,464 yang merangkumi 941,383 individu dan 2081 koperasi. Ia juga telah dilantik sebagai agen kutipan bagi bayaran cukai pendapatan melalui perkongsian strategik dengan Lembaga Hasil dalam Negeri Malaysia (LHDN).

2012

Bank Rakyat melancarkan terbitan pertama SUKUK di bawah Program Nota Jangka Sederhana bernilai RM1 bilion.

2010

Pelancaran perkongsian strategik antara Bank Rakyat dan Tabung Haji yang membolehkan pelanggan Tabung Haji melakukan pelbagai urusan di semua cawangan Bank Rakyat.

2009

Bank Rakyat menubuhkan Yayasan Bank Rakyat dengan hasrat untuk memaju dan mempertingkatkan standard pendidikan rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan anak para anggota. Pada penghujung tahun, kredit kad pertama Bank Rakyat yang berasaskan prinsip Syariah Tawarruq diterbitkan dengan kerjasama MasterCard Worldwide diperkenalkan ke pasaran.

2008

Karnival pertama Bank Rakyat dengan konsep permainan untuk orang ramai diadakan di Padang Dataran Pemuda Merdeka, Seberang Prai, Pulau Pinang. Karnival yang sama juga dianjurkan di Pasir Puteh, Kelantan dan Batu Pahat, Johor.

2007

Kelab Nuri Bank Rakyat dilancarkan oleh Puan Sri Wan Nafisah Nik Mohd. Adeeb, isteri Tan Sri Dato' Dr Syed Jalaludin Syed Salim, Pengerusi Bank berserta dengan maskot baharu berkonsepkan angkasawan.

2006

Bank Rakyat melancarkan Pusat Panggilan teleRakyat yang membolehkan pelanggan untuk menjalankan urus niaga bantuan rundingan atau layan diri. Bank Rakyat melancarkan Budaya Korporatnya yang dibina daripada singkatan R.A.K.Y.A.T. bermaksud: R: Rajin A: Amanah K:Kompeten Y:Yakin A: Akhlak Mulia T: Takwa. Ar-Rahnu X'change memasuki pasaran. Perniagaan francais pajak gadai Islam ini diuruskan oleh anak syarikat Bank Rakyat, Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS).

2005

Bank Rakyat menjadi Institusi Kewangan Bukan Komersil pertama yang memperkenalkan perkhidmatan Giro Antara Bank MEPS (IBG).

2004

Bank Rakyat ditempatkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) berikutan penyusunan semula kementerian kerajaan. Sebelum itu, Bank diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi.

2003

Bank Rakyat mengumumkan bahawa ia beroperasi dibawah prinsip Syariah sepenuhnya. Ia melancarkan Pusat Perbankan Elektronik (EBC) atau eRakyat di Cawangan Jalan Tangsi.

2002

Bank Rakyat melancarkan Program Rakan Koop yang bermatlamat untuk membantu koperasi menguruskan aktiviti perniagaan mereka melalui khidmat nasihat dan bimbingan. Perkhidmatan ini disediakan secara percuma oleh Bank Rakyat kepada ahliahlinya.

2001

Bersempena ulang tahun ke-47 Bank melancarkan logo korporat baharunya, menggantikan logo berusia 20 tahun dan turut melancarkan tiga produk Bank baharu berasaskan kepada konsep Al-Mudarabah, iaitu Syabab, Tawfir dan Tilmiz yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam.

2000

Bank melancarkan Pembiayaan Kontrak Tijari dalam usahanya untuk membantu perniagaan bersaiz kecil dan berdaya maju yang dinamik.

1999

Bank melancarkan Sistem Perbankan Runcit Bersepadu (IRBS) yang canggih, satu sistem yang membolehkan urus niaga perbankan runcit dan lejar am dijalankan secara dalam talian dan sokongan perkhidmatan ATM untuk urus niaga akaun simpanan dan pelaburan di Cawangan Pudu di Kuala Lumpur.

1998

Bank Rakyat melancarkan Skim Pembiayaan kenderaan An-Naqlu; kemudahan pembiayaan pembelian kereta.

1994

Pengarah Urusan Bank Rakyat, Dato' Anuar Jaafar melancarkan mesin juruwang automatik (ATM) di Cawangan Utama Bank yang menandakan permulaan era transformasi penggunaan teknologi baharu. Bank Rakyat menubuhkan Majlis Penasihat Syariah dan membuka cawangan di Kuching, Sarawak iaitu yang pertama di luar Semenanjung.

1993

Bank Rakyat mengumumkan pelancaran Sistem Perbankan Syariah yang menawarkan fasiliti seperti Akaun Simpanan Al-Wadiah, Akaun Pelaburan Al-Mudharabah, Pembiayaan Hartanah Al-Bai' Bithaman Ajil dan Pembiayaan Peribadi Bai' Al-Inah. Bagai sirih pulang ke gagang , Bank Rakyat membuka cawangan ke 42 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Bank Rakyat memperkenalkan Skim Pajak Gadai Islam ArRahnu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dengan modal permulaan berjumlah RM5 juta Bank menandatangani memorandum persefahaman pelaksanaan Ar-Rahnu dengan YPEIM pada 11 Oktober 1993.

1992

Parlimen meluluskan Akta Koperasi 1992 dengan empat objektif utama – untuk menggalakkan dan menukar koperasi menjadi gerakan mampan, untuk memperbaiki pentadbiran dan pengurusan dan mengukuhkan undangundang berkaitan dengan pengurusan koperasi.

1990

Bank Rakyat menerima kelulusan untuk menggunakan rizabnya yang berjumlah RM96.7 juta untuk menampung kerugian terkumpul berjumlah RM86.6 juta. Bank juga mengumumkan pegagihan dua peratus bonus kepada ahli-ahli dari 1978 hingga 1988, 10 peratus dividen tunai bagi tahun kewangan 1989, dan 10 peratus dividen dan 20 peratus saham bonus masing-masing bagi 1990 dan 1991.

1989

Bank Rakyat memperkenalkan perkhidmatan untuk sektor koperasi melalui pengenalan Akaun Tabungan Khas Koperasi Khas (ATKK).

1988

Bank Rakyat melancarkan Skim Pinjaman Pendidikan kedua untuk membantu pelajar menyambung pelajaran tinggi di dalam dan di luar negera dan juga Skim Pinjaman Khas Siswazah (SPKS) dengan pinjaman maksimum RM20,000 untuk membantu para siswazah yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menubuh dan memulakan perniagaan perkhidmatan dalam bidang perakaunan dan percukaian mereka. Pada penghujung tahun itu, Bank Rakyat melancarkan cawangan mininya yang pertama di Bandar Tun Razak, Cheras berserta Skim Pinjaman Motosikal dalam usaha untuk meluaskan lagi aktiviti peminjamannya.

1986

Pelancaran Skim Simpanan Nuri oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar untuk menggalakkan budaya menyimpan dalam kalangan murid-murid sekolah.

1984

Bank Rakyat melancarkan Skim Pinjaman Pendidikan pertama dikenali sebagai Skim Pinjaman Menanam Budi.

1983

Keahlian Bank meningkat kepada 29,002 yang terdiri daripada 28,134 individu dan 868 koperasi. Sehubungan itu, jumlah asset Bank meningkat kepada RM519 juta sementara keuntungan bersihnya mencecah RM5.9 juta.

1982

Pelancaran Perkhidmatan Perbankan Bergerak di cawangan Alor Setar. Kenderaan Perbankan bergerak ini beroperasi terutamanya di Kompleks Lembaga Padi dan Beras Negara sempena musim menuai.

1981

Rakyat First menandatangani perjanjian usaha sama dengan Deutsche Genossenchaftsbank (DG Bank). Ini dilihat sebagai batu loncatan kepada Bank Rakyat untuk terbabit dalam segmen perbankan dagang.

1979

Kertas Putih telah dibentangkan oleh kerajaan berhubung Bank Rakyat dikenali sebagai ‘Kedudukan Bank Rakyat' di Parlimen. Ini disusuli oleh pembentangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Rang Undang-Undang Peruntukan Khas) di Dewan Rakyat pada 19 Disember, 1977.

1978

Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas 1978) mula berkuat kuasa. Bank Rakyat diletakkan di bawah seliaan Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan koperasi.

1977

Bank Rakyat melancarkan Jabatan Kutipan dan Biro Pengaduan.

1975

Bank Rakyat menubuhkan Rakyat Trading Corporation Sdn Bhd (RTC) yang berperanan sebagai pembekal bahan pembinaan seperti besi keluli dan simen serta pengedar barangan yang dikeluarkan oleh ASEAN Chemical Fertiliser.       

1974

Warga kerja Bank Rakyat menubuhkan syarikat koperasi yang dinamakan sebagai Syarikat Kerjasama Bank Rakyat yang juga dikenali sebagai SEKATARAKYAT. Dua minggu kemudian, pelancaran Rakyat First Merchant Bankers Berhad (Rakyat First), sebagai bahagian perbankan dagang Bank Rakyat.

1973

Nama Bank Rakyat digunakan secara rasmi setelah dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.

1972

Bank melancarkan Akaun Tabung Wang Amanah di Mesyuarat Agung ke 17, ahliahli bersetuju untuk menukar nama Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad kepada Bank Rakyat. Pada bulan Disember tahun itu Bank Rakyat mengumumkan penubuhan anak syarikatnya yang pertama.

1971

Bank ini meluaskan perkhidmatannya untuk menyediakan pinjaman kepada ahli-ahli yang ingin membuka perniagaan, industri dan pembelian aset seperti rumah. Kongres Koperasi Malaysia Ke 2 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Bank Kerjasama Tan Sri Sheikh Ahmad bersetuju untuk menubuhkan Angkatan Kerjasama Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA). Pada bulan April tahun ini, pembukaan cawangan Melaka di Jalan Hang Tuah telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Dato' Talib Karim menandakan peluasan operasi Bank Kerjasama ke kawasan bandar.

1970

Bank Kerjasama Cawangan Kangar dirasmikan oleh Putera Mahkota Perlis, Tuan Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail. Bank Kerjasama Cawangan Kota Bahru, dibuka dengan rasmi oleh Pemangku Menteri Besar Kelantan, Dato' Muhammad Nasir pada tahun yang sama.

1969

Mentri Besar Perak, Dato' Sri Ahmad Mohd. Said merasmikan Cawangan Bank Kerjasama Bagan Serai sementara Bank Kerjasama Cawangan Muar dibuka dengan rasmi oleh Menteri Besar Johor, Dato' Othman Mohd. Saat. Pada penghujung tahun itu, majalah Berita Bank Kerjasama diterbitkan buat kali pertama dengan Ruangan Editor menyentuh tentang kemungkinan mewujudkan Kesatuan Syarikat Kerjasama di Malaysia.

1968

Bank Kerjasama membuka cawangannya yang pertama di Sungai Petani, Kedah selepas mengambil alih Bank Persatuan Berkerjasamasama Kedah Tengah.

1967

Lembaga Pengarah memutus untuk menukar nama Bank Agong kepada Bank Kerjasama Malaysia Berhad atau lebih dikenali sebagai Bank Kerjasama.

1966

Bank Agong berpindah ke bangunannya sendiri di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

1964

Pembinaan Ibu Pejabat Bank Agong di Jalan Ipoh bermula.

1963

Keahlian Bank Agong terdiri daripada 32 buah Koperasi dengan pelaburan saham berjumlah RM143,000.

1961

Bank Agong memindahkan Ibu Pejabatnya ke Kuala Lumpur bagi memusatkan perkhidmatan operasinya kepada semua pelanggan di Semenanjung Malaysia.

1958

Tan Sri Sheikh Ahmad melancarkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun yang mensasarkan untuk mengumpulkan modal berjumlah lebih RM12 juta dalam tempoh lima tahun berikutnya.

1955

Pemilihan Lembaga Pengarah pertama Bank diadakan berdasarkan kepada undian ahli mengikut kawasan. Tan Sri Sheikh Ahmad dipilih sebagai Pengerusi Bank. Ibu pejabat Bank dipindahkan ke Padang Kota, Pulau Pinang.

1954

Bank Agong Kampong Berkerjasama-sama Persekutuan Tanah Melayu Dengan Tanggongan Berhad secara rasminya didaftarkan dan Menteri Besar Perlis, Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd. Hashim dipilih sebagai Presiden Lembaga Penaja. Ibu pejabat Bank yang pertama didirikan di Bukit Mertajam.